Saya masih ingin memperkatakan tentang kewajipan makhluk Allah bernama manusia untuk menjaga tatasusila dalam berkata-kata. Bukan apa. Jangan kerana terlalu ikutkan perasaan, ketentuan Allah dipermainkan. Terutamanya bab kematian. Allah...Allah.... siapalah kita nak menghukum ajal seseorang? Tidak cukupkah dengan menyedekahkan al-Fatihah? Perlu sangatkah membuat spekulasi serong tentang punca kematian yang kita sendiri tidak tahu kebenarannya? Aiseh...berterus terang sajalah Sarah.
Baiklah. Perihal pemergian arwah Baharudin Ahmad baru-baru ini. (ini sekadar satu contoh. yang sebelum-sebelum ini, yang lain-lain, yang mana tidak diketahui yang berkaitan juga termasuklah sekali) -barangkali manusia yang ingin saya tegur tak baca pun blog saya yang tak seberapa ni. cuma, jika para pembaca memiliki kenalan yang mempunyai hobi seperti ini, sila-silalah beri teguran sementara malaikat maut belum mencabut nyawa masing-masing-
Jangan kerana kita tak sependapat dengan dia, jangan kerana kita tak sefahaman politik dengan dia, jangan kerana kita tidak mengibarkan bendera yang sama macam dia, segala-galanya tentang dia kita burukkan. Dia di sini merujuk sesiapa sahaja. Sudah selesai suatu isu, sudah lah. Perlukah diserang peribadi seseorang? Itu sangat tidak matang, dan lebih budak dari budak-budak. Terutamanya apabila berkata tentang hamba Allah yang sudah meninggal dunia. Ayat senang la saya bagi... "Eh.....lu orang kutuk-kutuk orang yang dah meninggal ni, lu orang ingat dosa lu orang tu diampunkan?". Orang yang dah meninggal dunia, macam mana kita nak mohon maaf atas kesalahan kita terhadap orang tersebut? Yang mengata ni sudah tentulah bukan kanak-kanak ribena darjah satu. Bukan juga budak-budak baru nak up form 1. Yang mengata ni dah cukup matang akalnya untuk berfikir. Tak tahulah makanan jenis apa yang di makan hari-hari lalu menyekat kelancaran akal untuk membezakan yang baik dan buruk.
Ini perkara sangat serius. Mudah. Letakkan diri anda di tempat orang yang telah meninggal dunia yang anda mengata itu. Oh....tak nak letak diri sendiri? Takut mati? Baik. Sebagai contoh, letak la sesiapa ahli keluarga anda di tempat arwah. Pemergiannya anda tangisi. Iya lah, orang yang anda sayangi meninggalkan anda selama-lamanya. Tiba-tiba entah siapa-siapa, tak tahu muncul dari mana, mengata itu ini tentang kematian arwah. Kenal arwah pun tidak, tiba-tiba sedap nak mengata. Saya bukan tak mahu letak contoh ayat mengata yang saya dengar, yang saya baca. Cuma bagi saya, terlalu kejam untuk hamba Allah berkata-kata seperti itu kepada hamba Allah yang lain. Nak kata mengigau lalu tertaip di internet tidak logik pula. Apa yang lebih dahsyat dari mengigau ya? Sampai sanggup memburukkan saudara se Islam sendiri? Ya, SAUDARA SE ISLAM! Itu yang saya nak highlight.
Bercakap ikut emosi, inilah jadinya. Manusia, jangan merungut generasi muda sekarang ni berperangai kurang sopan. Jangan mengeluh generasi muda kini akhlak runtuh. Lihat lah kerenah-kerenah orang lebih tua yang tidak sedar-sedar mereka diperhatikan oleh golongan yang lebih muda. Kalian menjadi ikutan anak-anak kalian. Kalian memaki hamun setiap hari, lepas tu nak harap anak-anak kalian berkata yang sopan santun, sedap telinga mendengar? Aha. Ini mimpi ajaib.
Bagi anak-anak muda yang sudah mampu berfikir, menilai baik dan buruk, perbuatan kalian tetap meninggalkan kesan kepada mereka. Oh...macam ini perangai pejuang negara rupanya. Macam ini rupanya perangai orang yang mengaku sayangkan negara. Dia sayang negara dia sampai dia sanggup mengata saudara se Islam yang telah meninggal dunia. No wonder people go against you. Honestly.
Lagi satu, apa yang kamu letak di Facebook tu dibaca oleh ramai orang. Kamu kenal ke tak, orang tetap baca. Kamu taip ayat kutuk orang tu, hina orang ni, orang lain baca juga. Dosa kamu sama meningkat dengan bilangan orang yang baca. Bukan setakat itu. Seminggu akan datang, sebulan, setahun, sedekad akan datang, bukti kamu buat dosa masih ada di situ. Barangkali masih dibaca orang lain. Dosa? Pandai-pandai fikir. Bayangkan kamu meninggal dunia tiba-tiba. Facebook tak ada aplikasi men delete profile manusia apabila manusia itu meninggal dunia. Maka segala status, komen, perbualan kamu masih ada di situ. Kata-kata hina yang kamu tulis penuh emosi suatu masa dahulu masih dibaca orang lain. Kamu sudah di liang lahad pun, dosa mengalir masuk. Itu pun tak boleh fikir? Iya lah....kalau sudah ikut emosi, lupa semua.
Sudah-sudah lah ikut emosi. Cuba lah hargai nikmat akal sihat yang Allah bagi. Suruh orang lain bersyukur dengan makhluk. Kalian juga patut luangkan masa fikir tentang nikmat Allah bagi. Jari memang mudah nak menaip ikut perasaan. Tapi apa gunanya akal fikiran yang sejahtera itu jika tidak digunakan? Akal, gunanya bukan berfikir cara-cara untuk mempengaruhi manusia saja. Sekali sekala, (jika tak mampu nak buat selalu) akal juga perlu digunakan untuk muhasabah diri. Jangan nak tunggu Allah tarik nikmat akal baru tahu nak bersyukur.
Lagi sekali, matang lah dalam berkata-kata. Saya tak kisah pun kamu siapa. Kamu menteri, kamu wakil rakyat, kamu jutawan, kamu doktor, kamu cikgu, kamu penoreh getah, kamu petani, kamu buruh binaan, kamu penceramah, kamu tak bekerja...... semuanya sama, tetap hamba Allah. Setiap hamba Allah tetap wajib menunaikan hak ke atas hamba Allah yang lain. Berbeza pendapat bukan lah penyebab kamu mempertikaikan sama ada seseorang itu syahid atau tidak. Apatah lagi mempermainkan sebuah kematian. Jangan lupa. Dunia ini terlalu singkat. Apabila kita berasa terlalu selesa, terlalu syok hidup di dunia, sudah tiba masa kita muhasabah. There must be something wrong somewhere.
Harap-harap lah coretan ini dibaca oleh yang sepatutnya. Harap juga memberi manfaat kepada semua. Ya, saya masih muda. Umur baru 21. Tetapi usia tidak menjadi penghalang untuk menjalankan amar ma'ruf nahi mungkar. Anda buat salah, saya tegur. Saya buat salah, lagilah anda kena tegur. Sebab memang itu tanggungjawab manusia di bumi ini kan? AMAR MA'RUF, NAHI MUNGKAR. Ingat itu sampai mati ya.
Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh-roh yang telah pergi, dan semoga Allah memberi keampunan untuk setiap dosa kita. Yang terlihat, mahupun yang terselindung.
Related Posts:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 play the melodies:
Post a Comment