Dulu, masa mula-mula masuk SMKA SHAMS, aku tak tahu pun BADAR tu apa. Tahu-tahu je wajib datang usrah setiap hari Isnin. Orang panggil usrah BADAR. So aku ingat BADAR tu sekadar usrah la. Lepas kelas, duduk dalam satu kumpulan, ada senior yang membebel itu ini. Lepas sejam, tutup buku usrah, balik. Macam tu lah setiap minggu. Memang aku tanamkan dalam fikiran bahawa BADAR itu sekadar usrah setiap hari Isnin. Sampai tingkatan 3 aku masih berfikiran sedemikian.
Naik tingkatan 4, aku dilantik menjadi Ketua Pelajar (pengawas). Pada masa yang sama, terpilih sebagai salah seorang pimpinan BADAR. Aku tercengang. Dalam fikiran aku, BADAR masih lagi sekadar usrah hari Isnin. Masa tu memang rasa nak tolak perlantikan tersebut. Tapi aku fikir why not give it a chance? Mana tahu ada sesuatu yang Allah nak tunjuk kat aku. Perancangan Allah adalah yang terbaik.
Maka aku pun mula mengenal apa itu BADAR. Rupanya ia bukan sekadar usrah semata-mata. Malah lebih dari itu. Bak kata Ustazah Syakirah, "BADAR lah yang bertanggung jawab membentuk sahsiah pelajar-pelajar SHAMS,". Makin hari aku makin faham apa yang dibawa oleh BADAR. Aku bukannya bekerja seorang, tetapi bersama saf kepimpinan yang cukup aku hormati. Sebagai pimpinan, kami mentarbiyah, pada masa yang sama, ditarbiyah. Sebagai pimpinan, kami merancang dan menguruskan macam-macam aktiviti untuk dilaksanakan. Kem latihan naqib, usrah, kursus imam-imam, bengkel pembangunan insan, motivasi penghayatan Islam, kuliah pengajian kitab, mahabbatur Rasul dan banyak lagi. Pelbagai pengalaman pahit, manis dan payau yang aku terima sepanjang bersama dengan BADAR. Ada masanya, rasa lemah semangat. Rasa tak mampu nak pikul tanggung jawab besar itu. Besarnya melebihi Gunung Everest. Itulah amanah. Akan dipersoalkan di akhirat kelak. Tapi di saat lemah, kata-kata Ustazah sentiasa menjadi pembakar semangat. "Bila kita bantu agama Allah, nescaya Allah bantu kita,". Aku yakin dengan ayat tersebut. Aku yakin kerja-kerjaku dalam BADAR adalah kerja-kerjaku untuk umat Islam. Kerana BADAR lah SMKA SHAMS aku anggap sebagai bumi tarbiyah di zaman persekolahan dulu. Dan sekiranya aku tidak dilantik menjadi pimpinan suatu masa dahulu, sudah tentu aku masih menganggap BADAR hanyalah usrah semata-mata. Tiada usaha untuk memahami kebenarannya. Sama juga seperti pelajar-pelajar lain yang tidak berminat melibatkan diri dengan program BADAR. Sudah tentu mereka merasakan semuanya hanya buang masa. Aku tak salahkan mereka. Cuma diri sendiri lah yang rugi.
Tiba di bumi Mesir, tiada lagi BADAR seperti di sekolah dulu. Ada PERUBATAN. Aku teringat kembali zaman-zaman muda remaja dulu, aku jenis yang tak ambil kisah hal sekeliling. Hanya apabila diberi tanggung jawab, barulah tergopoh-gapah cuba mengambil tahu. Aku tak mahu lakukan kesilapan yang sama. Aku bukakan hati untuk menerima dan mengenali PERUBATAN. Dasarnya Al-Quran dan as-sunnah, sama seperti SHAMS, dan sudah tentu, BADAR. Apabila dasarnya sudah sama, tentulah matlamat juga sama. Maka aku mula menjinak-jinakkan diri mengenali PERUBATAN. Ya, PERUBATAN bukan sekadar SC (Smart Circle) semata-mata. Bukan juga sekadar aktiviti medik sahaja. Bukan pula sekadar menjaga kebajikan. Walaupun namanya persatuan PERUBATAN, tapi konsepnya adalah seperti sebuah jemaah. Di dalamnya kita ditarbiyah serta mentarbiyah. Bersamanya kita belajar untuk membentuk diri. Memang benar, jika kita tidak bersama dengan PERUBATAN, memang kita tidak tahu apa di dalamnya. Sama keadaannya seperti aku dan BADAR suatu ketika dahulu. Jika tak sertai, memang kabur habis, rasa macam tak ada apa-apa. Kuncinya adalah dengan menyertai dan melibatkan diri.
Apa yang aku suka tentang PERUBATAN, tiada diskriminasi di dalamnya. Bukan hanya pelajar bertudung labuh yang boleh sertai. Bukan hanya pelajar dapat pangkat mumtaz boleh libatkan diri. Tapi ia terbuka untuk semua pelajar PERUBATAN tanpa mengira asal, sekolah lama, pemikiran, keturunan, keputusan peperiksaan, gaji ibu bapa dan apa sahaja aspek yang boleh menjadi isu diskriminasi. Secara peribadinya, aku menganggap PERUBATAN adalah kesinambungan daripada BADAR. Pentarbiyahan berterusan. Pembentukan diri masih diteruskan. Oleh kerana itu, amat rugi jika aku berfikiran sempit dan tidak membuka hati untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. Dalam PERUBATAN sudah ada macam-macam. Apa lagi yang aku inginkan? Syukur ku kepada Allah kerana adanya kesinambungan, adanya cara untukku meneruskan pengislahan dan pembentukan diri di bumi Mesir.
Selaku manusia yang pernah menjadi pimpinan (BADAR) yang bekerja merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat orang lain, pada masa yang sama menjalankan tanggung jawab sebagai pelajar, aku harap agar pimpinan PERUBATAN terus gagah dan cekal menjalankan amanah masing-masing. Allah tengok usaha, bukan hasilnya. Moga-moga segala usaha kalian diberkati Allah.
Selaku manusia yang pernah menjadi ahli biasa (BADAR) yang asalnya malas nak ambil tahu dan berat tulang nak libatkan diri dalam program, aku nasihatkan kepada ahli biasa (PERUBATAN) yang lain agar bukakanlah hati kalian untuk menerima apa yang dibawa oleh PERUBATAN. Fikirkanlah....mereka (pimpinan) buat macam-macam bukan untuk diri sendiri, tapi untuk manfaat kita semua. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang memikul amanah besar itu. Marilah kita bersama membantu mereka. Jika tidak mampu membantu, sokonglah mereka walau dengan sekadar menyertai aktiviti. Mereka juga manusia, mereka juga pelajar, mereka juga hamba Allah, sama seperti kita.
Hakikatnya masing-masing tidak sempurna, semua ada kekurangan. Tapi itulah hikmahnya kita berada dalam PERUBATAN, saling melengkapi.
Semoga coretan ini dapat membuka hati dan minda kita semua.
Related Posts:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 play the melodies:
Sokonglah PERUBATAN untuk meneruskan kesinambungan dakwah dan perjuangan Islam. Semoga pilihanraya esok mendapat sambutan dan sokongan daripada seluruh ahli PERUBATAN.
23 December 2010 at 21:38Nabi s.a.w. bersabda : "Beriltizamlah kamu dengan jemaah Islam dan pimpinan mereka" selagi mana pembawakan dan dasar perubatan membawa Al-Quran dan As-Sunnah, maka wajib kita sokong.
PERUBATAN untuk semua..
Post a Comment