"Kak Sarah, akak ada tak kenal sesiapa yang boleh menulis artikel?" tanya seorang junior dalam perjalanan pulang dari sebuah meeting.
Aku terkedu. Bukankah semua orang boleh menulis? Setiap yang boleh berfikir, dan telah diajar menulis, sudah tentu boleh menulis bukan? Bagi aku, sekalipun yang ditulis itu adalah monolog dalaman seorang manusia yang sedang kebosanan, itu juga dikira penulisan bukan? Tak semestinya yang dikira penulis itu adalah orang yang menulis novel sahaja, atau yang menulis artikel sahaja.
Cuba lihat. Setiap hari orang update status di Facebook. Setiap minggu ada yang update post di blog. Ternyata, majoriti boleh menulis. Sebab pemikiran manusia diluahkan melalui kata-kata, juga penulisan. Yang menjadi tembok penghalangnya hanyalah mahu atau tidak. Meskipun apa yang ditulis setiap hari itu karut semacam bunyinya, pemikiran manusia itu boleh dibentuk. Malah setiap manusia ada idea yang berbeza, hasil daripada akal yang unik kurniaan Allah. Jika dikumpulkan penulisan banyak orang, yang berbeza-beza gaya dan pemikirannya, nescaya cerialah dunia penulisan. Kalau tak, memang bosan, sebab tiap kali baca, gaya cerita yang sama sahaja.
Aku simpan monolog dalaman ini dalam hati. Tidak pula meluahkannya kepada junior yang bertanya. Sekadar berkata "Ramai je yang boleh menulis. Nak senang, tengok sape-sape yang ada blog,".
Kemudian junior itu menyebut satu nama junior lain, yang aku kira ada blog, dan baik penulisannya. Haaa...kan senang? Ramai yang boleh menulis. Cuma untuk meminta mereka menulis artikel, atau benda-benda yang formal, perlu dilatih dan dibentuk. Idea? Biarkan penulis dengan idea mereka yang tersendiri. Kerana di situ wujudnya warna yang pelbagai dalam kanvas penulisan.
Sebenarnya, semua orang boleh menulis. Ingat tak masa kita buat karangan time SPM dulu? Panjang gila kentang kan? Nak lulus dengan cemerlang punya pasal. Apabila ada matlamat, kita akan usaha sungguh-sungguh untuk capai matlamat itu.
Dalam keadaan kita sekarang, cuba tanya diri sendiri: untuk apa menulis? Adakah untuk menyusahkan diri, sedangkan banyak kerja lain boleh buat (seperti membuang masa tengok movie)? Adakah sekadar sebuah hobi (yang kalau suka buat, kalau tak ada mood tak payah buat)? Atau adakah kita rasa terpanggil untuk menulis demi Islam?
Aik....menulis untuk Islam? Macam mana tu? Nak tulis apa?
Mudah. Generasi zaman sekarang rajin membaca (baca bahan-bahan online). Dan kita sangat-sangat-sangat kekurangan bahan bacaan yang bermanfaat untuk dibaca oleh masyarakat. Lebih-lebih lagi golongan muda, yang sedang dalam proses membina diri. Sadis kan kalau membesar dalam keadaan tiada benda bagus yang boleh dibaca? Sedangkan kita banyak tenaga muda penuntut ilmu yang boleh menulis, berkongsi dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Tak perlulah tanya apa nak ditulis, sebab terlalu banyak yang boleh ditulis.
Bagi yang rajin ke kelas-kelas agama, kongsikan ilmu yang kalian perolehi di sana, dalam bentuk penulisan. Tulislah dengan cara yang mudah untuk orang lain faham. Kalau tak reti nak buat ayat best, tak apa. Kalian mesti ada kawan-kawan yang banyak idea kan? Boleh tolong-menolong hasilkan sebuah karya ilmu yang menarik untuk dibaca dan yang paling utama, bermanfaat.
Bagi yang rajin membaca berita, cubalah untuk membina minda mahasiswa itu. Baca, jangan sekadar baca buta. Baca dan kupaslah isu yang kalian rasa perlu diperbincangkan dan perlu diperjelaskan kepada masyarakat. Isu dunia, isu ummah, isu apa-apa pun.
Bagi yang rajin membaca bahan bacaan tambahan, seperti kitab-kitab agama, motivasi dan sebagainya, cubalah rajinkan diri untuk tulis satu rumusan, atau extract perkara-perkara penting daripada bahan bacaan tersebut, supaya orang lain boleh baca the simplified version. Seronok kan bila dapat kongsi manfaat sama-sama?
Bagi yang tak baca apa-apa bahan bacaan tambahan, tak rajin ke kelas-kelas agama, hanya rajin membaca dan mengulang buk teks kuliah, ketahuilah, kalian juga boleh menulis. Yang kita belajar di kuliah itu, semuanya memerlukan aplikasi bukan? Kalian boleh ubah suai ayat buku teks yang skema itu menjadi satu bentuk panduan, atau nasihat yang kalian nak bagitahu kat patient kalian nanti. Senang cerita, boleh tulis panduan-panduan ringkas kesihatan, berdasarkan apa yang kita dah belajar.
Sekalipun kalian bukan seorang yang rajin baca buku kuliah, tak rajin baca bahan tambahan, tak rajin pula pergi ke kelas agama, kalian masih boleh menulis untuk masyarakat. Sebab kalian ada kehidupan. Kalian hidup selama 20 tahun, hidup itu mesti penuh dengan pengajaran bukan? Penuh dengan hikmah yang tersembunyi, dan penuh dengan kisah-kisah yang mentarbiyah kalian. Jadi, kongsikan dengan semua orang, agar manfaatnya semua orang dapat.
Eh...merepek apa ni Sarah?
Haha. Taip panjang-panjang tapi tak jumpa point? Point dia senang je: menulislah untuk UMMAH!
Bantulah ummah ini. Kasihan, ia sangat dahagakan bahan bacaan yang bermanfaat, yang boleh mengisi jiwa-jiwa yang kosong itu. Jangan simpan semangat itu. Lakarkan, nukilkan dan sebarkan kepada semua. Agar kita dapat bersama mencapai matlamat yang mulia.
(alahai...ayat skema -____-" )
Related Posts:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 play the melodies:
Post a Comment