Kenapa?
Hari ni hari Jumaat. Kamu dah selawat? Belum? Allahumma solli 'ala Muhammad :)
Kamu dah baca surah Al-Kahfi? Belum? Tutup laptop kejap, ambil wudhu', buka Al-Quran, surah Al-Kahfi. Baca sampai habis ya. Kalau ada kesempatan, baca sekali tafsirnya. Kalau ada kelapangan, tadabbur ayat-ayatnya :)
Hari ni hari yang cukup indah.
Kenapa?
Hari ni hari Jumaat. Kak Natrah selalu pesan kat kami, anggaplah setiap hari Jumaat itu kiamat kecil untuk kita. Hari kiamat nanti pun hari Jumaat kan? Maka, haruslah kita bersedia sentiasa ya :)
Hari ni, juga hari yang sangat istimewa.
Kenapa?
Malam tadi kawan-kawan datang rumah saya. Kami dah lama tak jumpa. Kami buat discussion, kemudian kami qiamullail berjemaah. Seronok. Bahagia.
Kami buat tazkirah subuh. Macam-macam input yang saya dapat.
Kami buat sesi muhasabah. Seorang sahabat tekankan tentang tarbiyah ruhiyyah. Betapa pentingnya kita menjaga hubungan kita dengan Allah. Betapa pentingnya kita meletakkan Allah sebagai yang paling utama dalam hati kita. Tahu kenapa? Sebab segalanya terjadi dengan izin Allah. Maka, cintailah Dia yang memiliki semuanya.
Kita nak macam-macam dalam hidup kita. Kita nak keputusan cemerlang. Kita nak rezeki melimpah ruah yang berkat. Kita nak keluarga yang bahagia. Kita usaha, usaha dan usaha macam-macam untuk dapatkan apa yang kita nak. Di samping berusaha, jangan sesekali kita abaikan hubungan dengan Allah. Sebab, hanya dengan izin Allah, kita akan dapat apa yang kita nak :).
Kemudian, seorang sahabat bercerita tentang keperibadian ulama'. Allah....cukup kagum kami dengan ulama'. Tetapi, sesuatu yang merugikan kita adalah kita suka bercerita tentang keperibadian ulama', tetapi kita tidak memperibadikan ulama' dalam diri kita. Maka jadilah kita seorang manusia yang sangat mengagumi orang yang hebat, tetapi tidak berusaha menjadi hebat juga. Begitulah juga kita dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Siang malam kita membaca, mengkaji dan bercerita tentang sunnah-sunnah baginda. Namun kita suka berhenti setakat itu. Kita berat untuk melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu mengamalkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Seorang sahabat saya pernah berpesan, orang ramai suka bercerita tentang sunnah Rasulullah. Tetapi tidak ramai yang mampu istiqamah dalam mengamalkan sunnah baginda berjuang di medan dakwah. Sedangkan itulah antara sunnah besar yang kita dituntut untuk mengamalkannya. Semoga kita istiqamah melahirkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan ikhlas mengamalkan sunnah perjuangan baginda :).
Dalam tazkirah subuh tadi juga, sahabat saya berpesan tentang ikhtilat. Sebagai seorang pelajar, seorang yang berpersatuan, seorang yang banyak bermuamalat dengan hamba Allah bernama ikhwah, kita selalu terlepas pandang bab ikhtilat. Bukan kita tak tahu. Tapi selalu lupa. Alhamdulillah, Allah datangkan sahabat-sahabat saya untuk beri peringatan kepada saya. Dari segi percakapan, dari segi perbuatan, jaga lah ya. Kadang-kala kita rasa tak ada apa-apa pun. Kita hanya ketawa, buat lawak sikit-sikit saja. Tapi sebenarnya benda-benda kecil itulah yang memberi penyakit kepada hati kita. Lama-kelamaan ia akan membarah. Bahaya sebenarnya. Sangat bahaya. Terutama untuk para dai'e yang menyeru manusia ke jalan Allah. Penyakit hati ni kebanyakannya kita tak nampak dan kita tak sedar. Yang kita sedar, apabila telah mendatangkan kesan negatif kepada kita, dan lebih teruk lagi, kepada dakwah yang kita bawa. Na'udzubillah min zaalik.
Kita cuba ya. Kita usaha, jaga betul-betul batas pergaulan kita. Sahabat saya pesan, meskipun kita sudah bertunang, kita tetap wajib menjaga batas pergaulan kita dengan ikhwah tersebut.
Kepada awak, saya minta maaf sangat sangat sangat sebab selama ini banyak tidak menjaga ikhtilat. InsyaAllah, kita cuba usaha sungguh-sungguh. Kita jaga segala aspek. Moga Allah berkati kita hingga ke syurga.
Kemudian, seorang sahabat saya memberi satu quote yang best.
"With knowledge, comes responsibility"
Biasanya kita dengar, with great power, comes great responsibility kan? Tapi kali ini kita ubah sikit, ikut kesesuaian dengan kita.
"Orang yang tidak memiliki apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa"
Kedua-dua quotes ini berkaitan. Apabila mempelajari sesuatu ilmu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikannya kepada orang lain. Semuanya perlu berjalan seiringan. Sama seperti amar ma'ruf nahi mungkar. Kita tak boleh berhenti setakat menyeru manusia ke arah kebaikan sahaja, dan meninggalkan tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran. Kadang kala kita beralasan, apabila kita menyeru manusia melakukan kebaikan, secara semulajadi dia akan meninggalkan kemungkaran.
Tidak. Jika begitu halnya, tidaklah Allah menyatakan suruhan mencegah kemungkaran. Hakikatnya, Allah menuntut kita menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Maka, menjadi tanggungjawab kita selaku hamba Allah yang faham tentang agama ini dan yang menyedari peranan diri sebagai dai'e untuk melaksanakan amanah besar ini. Marilah kita kurangkan memberi alasan (yang difikirkan logik) sedangkan tidak bertepatan dengan perintah Allah. Ingat ya. Kita ni hanya hamba :).
Banyak lagi perkara yang ingin saya kongsikan. InsyaAllah, ada kelapangan, saya sambung di post yang lain :)
p/s: sahabat saya sentiasa bersungguh-sungguh berpesan kepada saya; carilah dari mana datangnya sumber ilmu yang kita pelajari itu. Kaji, siapakah ulama' yang menyampaikan ilmu tersebut. Supaya kita lebih yakin dan terkesan dengan ilmu yang kita pelajari :)
0 play the melodies:
Post a Comment