Hope

Hope

Pray

Pray

Work

Work

Repent

Repent

IKHLAS itu INDAH

Thursday 14 January 2010



Hari ini cukup bermakna bagi aku. Baru semalam menerima keputusan formative test subjek Anatomy yang membuatkan aku berfikir panjang, berfikir jauh. Aku masih ditakuk lama. Aku masih student 'belasan' kerana markah takat belas-belas sahaja. Kawan-kawan lain telah lama melakukan anjakan paradigma. Jika tahun lalu mereka juga belasan, kini mereka skor hampir full mark. Jika mereka ditanyakan soalan itu dan ini, bertalu-talu jawapan padu keluar dari mulut mereka diiringi keyakinan dan semangat yang jitu. Melihat keadaan sebegitu yang mengelilingi diri ini kadang-kala membuatkan aku rasa cukup down. Kenapa aku tak boleh jadi seperti mereka?

Bermula dari soalan itulah fikiranku mula mengimbas kembali sejarah lama. Ketika aku masih dibangku sekolah rendah, aku tidak pernah menyedari kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku adalah sesuatu yang gharib, sesuatu yang bukan semua orang boleh miliki. Tetapi aku masih kanak-kanak ketika itu, tidak benar-benar menyedarinya. Mungkin kerana aku tidak sedar, Allah menarik kembali nikmat itu sedikit demi sedikit, sehingga kini, aku benar-benar mensyukuri nikmat itu kerana ia tiada lagi atau mungkin aku tidak lagi memilikinya secara total.

Aku mula membanding bezakan keadaanku semasa di sekolah dahulu dan keadaanku kini. Mengapa kini aku rasa sangat susah untuk belajar? Mengapa dahulu aku rasa ringan sahaja, walaupun ada ketikanya kesusahan datang menimpa? Mengapa kini aku perlu bersusah-payah untuk memahami sesuatu sedangkan dahulu aku bagaikan span yang menyerap segala yang diajarkan dengan mudah? Mengapa kini setiap kali keluarnya keputusan ujian dan peperiksaan, ia bukanlah sesuatu yang boleh aku jadikan contoh untuk adik-adikku? Mengapa dahulu aku berupaya untuk cemerlang dalam setiap subjek sedangkan antara satu subjek dengan subjek yang lain itu cukup berbeza? Mengapa susah sangat untuk aku faham dan skor walaupun aku sudah berkali-kali berusaha untuk memahaminya? Mengapa dahulu aku berupaya untuk faham dan skor hanya dengan mendengar di sekolah, tanpa perlu bersusah-payah di rumah?

Persoalan demi persoalan timbul di dalam benak fikiran. Aku bukannya menyesali nasib diri sekarang. Tetapi aku cuma ingin mengetahui puncanya. Berfikir dan terus berfikir.... Akhirnya aku menyedari, liku-liku yang aku tempuhi dalam hidup ini sebenarnya salah satu cara yang Allah hadiahkan untukku bagi mematangkan diri ini, serta memberi pengajaran dan pengalaman agar aku terus membina kehidupan dan melengkapkan diri dengan bekalan menuju akhirat.

Semenjak darjah 1, aku memiliki photographic memory yang sering membantu aku untuk cemerlang dalam peperiksaan. Ini bukan cerita bohong rekaan semata-mata, atau sekadar imaginasi kanak-kanak kecil. Aku tahu, bukan semua orang memiliki photographic memory. Ramai orang kata, beruntung sangatlah sesiapa yang memilikinya. Ya Allah, aku bersyukur kerana Kau pernah mengurniakannya kepadaku. Aku melalui kehidupan persekolahan darjah 1 sehingga darjah 6 tanpa banyak masalah. Aku mampu menjawab UPSR dengan cara mengingati gambaran, peristiwa, pengalaman dan cara guru-guru mengajar. Jika ketika UPSR menjelang tiba, rakan-rakan lain bertungkus-lumus memahami dan menghafal itu dan ini, usahaku seperti mereka hanya sedikit sahaja. Aku bersyukur.

Di alam menengah juga begitu. Tingkatan 1, 2 dan 3 berjalan dengan lancar. Hinggalah tiba saatnya aku menjejakkan kaki ke tingkatan 4, sedikit demi sedikit perubahan itu berlaku. Tapi ketika itu, aku masih belum menyedarinya kerana aku gemar menggunakan logik akal ketika menjawab soalan. Namun syukur padaMu, aku mampu mendapatkan yang terbaik untuk SPM. Ketika menerima keputusan SPM, ramai kaum kerabat dan juniors yang bertanyakan cara aku belajar. Mereka ingin aku berkongsi sedikit tips dan rahsia untuk mereka skor dengan cemerlang nanti. Dan di saat itulah aku menyedari tidak banyak yang aku usahakan untuk mendapat kecemerlangan itu. Di saat itulah aku berasa malu kerana tidak mampu menjawab pertanyaan yang mereka berikan. Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus ku nyatakan kepada mereka yang sebenarnya, kejayaan itu bukanlah sepenuhnya atas usaha sendiri. Jika aku ditanyakan tentang Physics sekarang ini, belum tentu aku mampu untuk menjawabnya, apatah lagi mengajarkan dan menerangkan ilmu itu kepada orang lain. Astaghfirullahal'aziiim....

Kini, setelah setahun setengah berada di Mesir, aku menyedari kesusahan yang pernah dialami oleh segelintir sahabatku dahulu. Mereka berusaha, bersusah-payah, bersungguh-sungguh untuk memahami sesuatu tetapi hasilnya tidak seperti yang mereka harapkan. Sakit, pedih perasaan itu. Ya Allah, aku bersyukur atas pengalaman dan pengajaran ini. Semoga aku lebih matang dan mampu berdiri atas kaki sendiri untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

Berkata seorang rakan "Semua orang tahu medik tu susah. Relax je laa..".

Entah mengapa dari dulu lagi aku tidak pernah bersetuju dengan penyataan medik itu susah berbanding bidang lain. Aku tidak mempunyai hujah kukuh untuk menyokong pendirianku, tapi aku tetap yakin, apa-apa bidang ilmu Allah yang kita pelajari, tetap memerlukan usaha yang banyak, tawakkal yang tinggi dan doa yang tidak putus-putus. Tiada perlu pada alasan bahawa medik itu susah, maka penuntut ilmunya dipandang tinggi atau perlu berusaha lebih dari orang lain.

Hari ini, aku pergi bertalaqi dengan Syeikh Wail di Muqattam. Hatiku rasa lain macam, rasa ada sesuatu namun tidak tahu apa. Aku tidak pasti adakah ia perasaan takut, bimbang, tidak tenang, tertanya-tanya...atau apa. Selesai sahaja membaca Al-Quran, aku bertekad untuk meminta sedikit nasihat daripada Syeikh Wail dengan harapan aku akan mendapat jawapan bagi setiap persoalanku selama ini. Sebenarnya, aku tidak tahu soalan yang bagaimana harus ku tanyakan kepada Syeikh. Namun aku sekadar meminta nasihat daripada beliau memandangkan imtihan sudah hampir.

Nasihat yang diberikan oleh Syeikh Wail cukup menyentuh hatiku, cukup memberi makna yang mendalam hingga berlinang air mata ketika mendengar kata-kata beliau. Tidak mampu ku tahan lagi perasaan sebak di dalam jiwa apabila mendengar nasihat beliau. Tidak ku hiraukan orang di sekeliling kerana perasaan ketika itu cukup indah. Bagaikan seorang fakir miskin yang diberikan sebuah lombong emas.

Menuntut ilmu ini, tidak kira apa pun bidang kamu, paling penting kamu perlu niatkan seikhlasnya kerana Allah s.w.t. Biar pun kamu bakal menjadi masyhur, mendapat pangkat dan harta, menjadi kaya, namun niat di hati kamu mestilah hanya kerana Allah. Apabila niat itu diikhlaskan hanya kerana Allah, dan tiada sedikit pun dunia di hati kamu, insyaAllah, kamu akan rasa tenang. Dan ingatlah, apabila kamu bekerja nanti, kamu adalah wasilah untuk menyembuhkan penyakit orang lain. Ingatlah kamu bekerja untuk Islam, untuk agama Allah. Cukuplah kamu bekerja semata-mata agar agama Allah terus mekar di bumi ini. Bukan kamu bekerja kerana harta dan dunia. Rasulullah s.a.w diciptakan untuk apa? Bukan untuk dirinya, tetapi agar agama Allah dapat disebarkan ke seluruh dunia, kepada seuruh hamba Allah. Kamu juga perlu berkhidmat untuk Islam, dan memadailah Islam itu tersebar ke seluruh dunia dan kalimah Allah itu kekal di bumi ini. Para sahabat juga penuntut ilmu seperti kamu. Mereka menghambakan hidup mereka dengan menuntut ilmu kerana Allah. Walaupun lama tempohnya, susah jalannya, namun mereka tetap tabah dan kekal menuntut ilmu kerana Allah. Sesungguhnya, keikhlasan itulah yang menjadikan mereka dan kita semua tetap berada pada jalanNya. InsyaAllah, ikhlaskan niat kita dan Allah akan sentiasa bersama kita. Ma'attaufiq wannajah.....

Serentak dengan itu, air mata menitis ke pipi. Tidak dapat keselindungkan lagi rasa bersyukur, rasa bahagia, rasa berterima kasihku atas nasihat tersebut. Cukup menenangkan jiwa yang kadang-kala dilanda kekusutan ini. Cukup menyedarkan diri yang tidak begitu matang dan serius dalam usaha menuntut ilmu. Biar pun jalan itu susah, namun berbekalkan keikhlasan niat itu, perjuangan akan ku teruskan. Rasa kesal pada diri kerana tidak berusaha untuk memahami ilmu sepenuhnya, sedalamnya. Tidak pernah berusaha untuk menjadi faqih dalam bidang ilmu yang aku pelajari. Ya Allah, Kau telah tunjukkan aku sesuatu yang amat berharga hari ini. Ya Allah, kurniakan kekuatan kepadaku, kurniakan keikhlasan kepadaku agar aku menjadi hamba yang hidupnya dan matinya hanya untukMu.

Sungguh, ikhlas itu indah bagi yang mengerti. Ikhlas seorang hamba kerana Tuhannya mampu mengubah dunia, mampu menetapkan hatinya pada jalan Allah.

5 play the melodies:

izzati said...

tanx sarah untuk post ni!sangat2 terkesan.
mg kejayaan kita gapai bersama"agar agama Allah mekar di muka bumi ini"
~minta izin copy nasihat syeikh wail.syukran!

14 January 2010 at 14:08
Anonymous said...

"Kemudian Tuhanmu PELINDUNG bagi orang-orang yang berhijrah setelah menderita ujian,kemudian mereka berjihad dan bersabar,Sungguh Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha Pengampun Maha Penyayang"an-nahl 110
Menuntut ilmu itu satu jihad utk kita benar-benar menjadi pejuang islam yang sejati..Jihad itu satu pengorbanan,pengorbanan pula memerlukan kesabaran..Semoga ALLAH merahmati hidup Kamu dan memberkati usaha kamu..Taufiq insyaALLAH

14 January 2010 at 21:37
cahayasakinah said...

‘Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Fusillat ayat 30)


sarah...yang penting kita istiqamah ya dalam semua yang kita buat...saling mendoakan.

14 January 2010 at 22:48
Anonymous said...

Salam @ sarah,

Seperti mana yang ana pernah sebut sebelum ini, ana juga mengalami dunia gelap. Ana dulu seolah-olah wujud sebagai orang yang menyusahkan. Bukan pada keluarga, tetapi juga guru-guru.

Sangat panjang jika ingin dicoret tentang pengalaman.

Tetapi setelah ana diverse benar-benar, ana ingin membayar segala-galanya. Bagi insan yang bernama akmal hakim ini, ana telah dianugerahkan beberapa bakat, jadi untuk itu, ana merasakan seolah-olah ana diberi kepercayaan untuk menyelesaikan satu misi.

Misi sebuah kehidupan.

Ia akan tamat sekelipmata sekaligus, buat tubuh ini. Tetapi ia tidak akan henti diwarisi.

Apa yang ana ingin maksudkan di sini, sesuai dengan post sarah, kadang-kadang adakalanya kita perlu dibayar satu erti kehidupan dengan digantikan satu pengertian yang sangat-sangat bermakna. Mungkin di sana sarah mendapat erti ikhlas yang paling kukuh.

Kena ingat, itu satu cerita yang tak henti setakat itu sahaja pada sarah. Itu adalah cerita generasi kemudian yang mungkin mengalami dilema yang sama.

Siapa lagi kalau bukan sarah yang boleh memberitahu.

Sepertimana yang ana beritahu ini.

Ana puas menyelesaikan misi ana di sekolah dahulu dengan menggantikan masa yang sepatutnya ana perlu luangkan banyak untuk pelajaran. Kini ana mulai merasa bahagia.

Ana mengecapi nikmat tak terperi belajar ketika usia IPT ini.

La tahzan.

Kesedihan itu adalah bayaran sebuah erti.

Jika tidak sedih, mungkin tiada erti yang dapat dirasai.

Bahagia akan menyusul kemudian.

15 January 2010 at 23:09
farahnur said...

terima kasih, terima kasih, dan terima kasih. uhubbukifillah :)

20 June 2010 at 01:47
Related Posts with Thumbnails