Entah berapa kali aku mundar-mandir dalam rumah, lagak seperti tiada arah tujuan. Ku tinjau makanan di dapur, namun tekak kata belum lagi. Ku selak-selak nota Anatomy atas meja, otak kata nanti sambung lagi. Ku buka pula buku lukisan Histology, tangan kata dah letih ni. Ku toleh ke arah katil, namun mata kata belum masanya lagi. Serentak dengan itu, hati menjerit. Kenapa aku rasa kosong dan sunyi?? Aku merenung ke arah bungkusan Friskies yang sudah 3 hari tak bersentuh. Bukan, bukan kerana Betty. Aku sudah immune dengan ketiadaannya. Hati tercari-cari apa puncanya. Mata meliar, mencari sesuatu objek yang boleh menghilangkan kekosongan dalam jiwa. Tiba-tiba terlihat tasbih yang tergantung kemas di pintu almari. Ku capai dan mula berselawat. Teringat pesan ayah: Bila rasa kosong, kembalilah pada Allah. Nanti kita jadi tenang.
Ketika hati mula khusyuk bertasbih, fikiran mula melayang mengenangkan betapa alpanya aku pada Tuhanku. Setiap hari hidupku dipenuhi aktiviti keduniaan, yang kadang kala terselit di celah-celahnya masa untuk mengingati Tuhan. Namun ku kira-kira, berganda-ganda masa ku lebih banyak ku habiskan untuk aktiviti dunia. Siang ku padat dengan aktiviti yang membuatkan aku sibuk. Andai terdapat masa luang pun, ku penuhinya dengan rehat, atau sukan yang boleh menghilangkan keletihan. Malam ku turut ku penuhi dengan belajar, tidur dan selebihnya qiam, kadang kala. Namun tidur itu sering kali melebihi qiam.
Ya Allah, betapa zalimnya diri ini! Aku terlalu sibuk dengan diri sendiri, hingga aku terlalai dari mengingatiMu ya Allah! Sedangkan Allah tidak pernah lupa kepadaku. Setiap detik Allah kurniakan nikmat kepadaku, agar aku dapat terus hidup, dan mengabdikan diri padaNya. Tapi aku? Aku gunakan nikmat itu tanpa sedar. Aku gunakan nikmat masa, usia, sihat dan nyawaku untuk hal-hal dunia, untuk keseronokanku. Ya Allah, aku terlalu zalim!! Hatiku meronta-ronta memarahi diriku yang alpa ini.
Mengapa aku terus lalai begini? Apakah puncanya?? Teringat pesan ayah: Kalau dalam solat pun kita tak khusyuk, macam mana kita nak khusyuk buat kerja lain. Aku terkedu. Benar kata ayah. Kadang kala dalam solat pun tumpuan ku lari entah ke mana. Takbirku, ruku'ku, sujudku...ada masanya tidak khusyuk! Revision Anatomy, lukisan Histology, assignment dan exam kadang kala ku bawa masuk ke dalam solat. Ya Allah...apa nak jadi dengan aku ni?!! Ke mana perginya daya tumpuanku? Mengapa harus ku fikirkan hal-hal dunia ketika aku sepatutnya memikirkan hanya tentang Allah, Tuhanku yang satu, yang tak layak disamakan dengan apa-apa pun di dunia ini. Ya Allah...aku terlalu zalim.
Ketika pada suatu masa aku mengadu pada ayah, tumpuanku untuk belajar kurasakan seakan-akan hilang. Ayah menasihatiku agar menjaga solatku, menjaga hubunganku dengan Allah, mengingatiNya setiap masa, dalam setiap denyutan nadiku, dalam setiap pekerjaanku, dalam detik-detik yang ku lalui dalam hidup ini. Kata ayah, jika hubungan kita dengan Allah itu baik, insyaAllah urusan kita yang selebihnya juga baik. Ayah mengajakku mengenang kembali saat-saat aku masih di sekolah. Kata ayah, Ayah dan ibu tengok angah busy sangat time sekolah. Lebih-lebih lagi tahun nak SPM. Tapi ayah tak risau tentang pelajaran kamu. Sebab ayah tahu keyakinan dan tawakkal kamu pada Allah sangat tinggi. Dan sebab itu Allah sentiasa bantu kamu. Ayah kagum dengan tumpuan angah. Sejak angah sekolah rendah, ayah dapat lihat tumpuan yang sangat kuat tu. Time kamu nak fly ke Mesir dulu pun ayah masih nampak daya tumpuan tu kat angah. Sekarang ni, ayah dah tak ada dekat dengan kamu, nak ingatkan kamu hari-hari. Kamu mesti disiplinkan diri, ingatlah Allah setiap masa dan janganlah bimbang. Pertolongan Allah sentiasa ada untuk hambaNya yang sentiasa mengingatiNya. Hati tertunduk mengenangkan betapa berdosanya diri.
Menjadi kebiasaanku untuk mencari bahan bacaan ilmiah bagi mengisi rasa kosong. Ku renung beberapa saat ke arah rak buku yang setia memenuhi diri dengan pelbagai jenis buku. Majoritinya buku akademik, buku rujukan, buku cerita, buku motivasi dan sedikit sungguh buku yang mendatangkan muhasabah diri. Tiba-tiba mata tertumpu kepada senaskhah buku yang seolah-olah tersepit di celah-celah buku yang lebih tebal. Aku mencapai buku tersebut. Serta-merta teringat, itulah buku pemberian teman seperjuanganku ketika hari lahirku yang ke 20. Belum lagi aku membaca, mahupun menyelak-nyelak isi kandungannya.
Aku pun berhasrat untuk mengisi malamku itu dengan membaca buku tersebut. Sepanjang pembacaanku, kerap kali hatiku menangis, menyedari diriku telah terlalu terpikat dengan dunia. Betapa selama ini aku sering menuruti kehandak nafsu dan hati, yang inginkan kesenangan, keseronokan dan bergembira serta bergelak ketawa. Sedangkan Allah, Tuhanku dan Tuhan sekalian alam, memerintahkan agar aku takut kepada Allah, dan mencegah diri daripada memenuhi kehendak nafsu. Persoalannya, seruan manakah yang disambut oleh hati? Disinilah letaknya ujian dan dugaan kehidupan. Pilihan hati lah yang menentukan bagaimana keadaan hati sebenarnya.
Jika hati itu tenang dan bersih, seruan Allah disambut dengan semangat yang berkobar, tiada apa pun di dunia ini yang bisa menghalang diri dari mentaati Allah. Namun jika hati itu rosak dan kotor, keindahan dunia dilihat seperti tiada akhirnya, seolah-olah dia akan hidup selamanya. Hati ini sangat mudah tertipu, dan oleh itu ia perlu dipelihara sebaiknya, agar ia sentiasa tunduk dan khusyuk menjalankan perintah Allah. Kerana pada akhirnya, bukan harta dunia yang akan membantu kita, tapi amal ibadahlah yang menjadi teman setia di akhirat nanti. Ketika kita menangis, meraung kesakitan di akhirat, hanya amal ibadat yang bakal bersama kita. Tiada lagi dunia dan isi kandungannya yang dulu kita agungkan.
Allah...hati rasa segar semula. Bagaikan telah diberi makan, setelah beberapa lama diabaikan. Hidup ini bukanlah untuk keseronokan, tetapi ia adalah perjuangan. Sehebat mana pun kita, sedalam manapun ilmu kita, ada masanya kita terleka dan terkapai-kapai keseorangan, menanti seseorang untuk menarik kita keluar dari kepompong keseronokan. Itulah hikmahnya Allah menciptakan manusia di sekeliling kita; keluarga dan sahabat untuk sentiasa mengingatkan kita yang lupa. Sungguh, itulah sifat manusia, sering kali lupa. Dan Dia, Allah Yang Maha Esa, sentiasa ada di sisi kita dan tidak pernah sesaat pun lupa kepada kita.
Related Posts:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 play the melodies:
syukran sarah..
21 May 2010 at 18:54tazkirah yg cukup bermakna..
Post a Comment